Jun 16, 2025 - FASUntuk episod Wajah Bola Selangor bulan ini, unit media SFC berpeluang untuk menemuramah salah seorang kakitangan SFC yang telah lama menabur bakti buat kelab.
Rata-rata penyokong Merah Kuning pasti tertanya-tanya siapakah pereka grafik SFC di sebalik rekaan-rekaan jersi, pakaian rasmi, poster serta bahan-bahan pemasaran di laman media sosial rasmi SFC. Setiap rekaan yang diilhamkan oleh insan yang bernama Amal ini adalah hasil titik peluh beliau yang kini menjadi sebahagian besar SFC.
Ikuti temubual Wajah Bola Selangor episod kali ini yang menceritakan perkongsian tentang Amal menjalani tugasan harian beliau bersama Gergasi Merah sebagai pereka grafik.
“Nama diberi Amal Arif Hatta dan saya dilahirkan pada 16 Jun 1995. Saya juga berasal daripada Semenyih, Selangor. Saya merupakan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik. Selain itu, saya merupakan graduan jurusan kewangan dan perbankan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.”
Mula meminati bidang reka bentuk grafik sejak dari bangku sekolah menengah, beliau aktif dalam membuat rekaan grafik kemeja-T dan lanyard ketika di asrama. Beliau mula menyertai kelab reka bentuk grafik di institusi pengajian tinggi dan terus mengejar kerjaya dalam bidang ini selepas tamat pengajian.
Amal merupakan peminat tegar bola sepak sejak umurnya 5 tahun lagi, setiap petang beliau akan turun padang bermain bola sepak bersama rakan-rakannya. “Saya mula meminati bola sepak Selangor apabila ayah saya pernah membawa saya dan adik-beradik ke perkarangan Stadium Shah Alam dan membelikan kami (adik-beradik) baju bola sepak Selangor. Saya juga sering mengikuti perlawanan melalui televisyen dan radio sebelum saya berpeluang menyaksikan perlawanan secara langsung di Stadium Shah Alam pada tahun 2012.”
Selain itu, beliau mula meminati bola sepak kerana beberapa pemain-pemain bola sepak ternama yang menjadi kegemaran Amal termasuk bekas pemain Perancis, Zinedine Zidane, serta bekas pemain Bola Sepak Selangor seperti S. Kunanlan, Jamsari Sabian, dan juga pemain import dari Indonesia, Elie Aiboy.
“Kenangan terindah saya sebagai peminat bola Selangor FC (SFC) adalah apabila saya berjaya mendapatkan pekerjaan di sini sebagai pereka grafik. Impian saya sejak menamatkan pengajian adalah untuk berkhidmat dengan Selangor. Alhamdulillah akhirnya saya menerima tawaran secara rasmi daripada SFC pada tahun 2019.”
Sebelum menyertai SFC, Amal telahpun mempunyai pengalaman bekerja sebagai pereka grafik selama tiga tahun. Pada mulanya, agak sukar untuk menyesuaikan diri kerana ini merupakan pengalaman pertama beliau bersama SFC, namun beliau sentiasa berusaha memberikan yang terbaik. Sebulan selepas menyertai SFC, beliau diberi peluang untuk mereka bentuk jersi untuk musim 2020, yang merupakan tugasan besar pertamanya pada waktu itu.
“Jersi pertama yang direka oleh saya untuk SFC adalah jersi Selangor ‘Home’ 2020 berwarna merah gelap. Pada saya ia amat istimewa kerana itu adalah kali pertama kami mengeluarkan jersi yang berlainan warna selain daripada merah dan kuning. Untuk jersi Selangor ketiga atau ‘third kit’ 2020, kami memutuskan untuk membawa satu cerita atau isu yang wajar diketengahkan dalam masyarakat seperti, jersi glow in the dark yang membawa mesej kick out racism bagi menentang isu perkauman dalam bola sepak. Sejak itu, setiap jersi kami direka dengan latar belakang cerita dan isu tersendiri.”
“Pembuatan jersi Selangor ‘Away’ 2021 merupakan salah satu rekaan grafik yang menarik bagi Amal dimana ia mempunyai elemen peta geografi dan motif Selangor di belakang baju. Idea tersebut hasil daripada perbincangan bersama dengan rakan kerja dan akhirnya direalisasikan di SFC. Walaupun jersi tersebut berwarna biru akan tetapi ia masih diterima baik oleh banyak pihak terutama penyokong SFC.”
“Sepanjang proses ini dijalankan, saya mendapatkan idea daripada pelbagai pihak termasuk Dr Johan, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Ridwuan Mahamud, Pengurus Besar Media dan Pemasaran serta rakan-rakan sekerja dalam sesi perbincangan bersama pemain tentang cerita mereka. Saya mengakui bahawa zaman sekarang lebih mudah dan maju berbanding dahulu kerana terdapat banyak media sosial, kemudahan komunikasi serta lokasi pejabat yang lebih strategik untuk membuat kerja dengan lebih selesa.”
Menurut Amal, proses pembuatan jersi mengambil masa yang sangat panjang dan boleh memakan masa hampir setahun. “Proses dimulakan dengan mencari cerita untuk tahun berikutnya, walaupun sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku tetapi rakan-rakan saya akan duduk berbincang dan bermesyuarat bersama Dr. Johan bagi menentukan cerita yang ingin disampaikan dan rekaan yang dikehendaki bersama pihak Joma.”
Tugas Amal sebagai pereka grafik akan bermula pada pertengahan musim untuk menghasilkan lebih daripada 100 rekaan grafik. Daripada jumlah tersebut, reka bentuk akan diubah dan digabungkan sebelum disenarai pendek sehingga menjadi 3 rekaan sahaja. Seterusnya, rekaan akan diserahkan kepada pihak Joma untuk menghasilkan contoh atau sampel. Jika sampel yang sampai tidak sesuai, proses pengubahsuaian akan dilakukan sehingga mencapai hasil yang diinginkan. “Sepanjang proses penghasilan jersi ini kami menitikberatkan pendapat pemain dan penyokong kemudian menjalani proses pengesahan penaja yang akan memakan masa yang agak lama.”
Amal berpeluang melawat kilang Joma untuk melihat sendiri proses pembuatan kain fabrik dan warna yang akan digunakan. Kain akan diuji dengan teliti untuk memastikan warnanya tidak luntur mahupun koyak. Jika terdapat perubahan, Amal akan terus membuat perubahan dan hantar rekaan itu ke pihak Joma untuk membuat perubahan serta-merta. Apabila jersi sudah siap, pelancaran kempen akan dijalankan untuk menceritakan kisah di sebalik jersi.
Sebelum sesuatu kempen jersi itu dijalankan, rakan-rakan sekerja akan pergi ke perpustakaan negara untuk mencari info atau maklumat yang diperlukan serta berjumpa dengan pemain-pemain senior atau ‘legend’ untuk mendapatkan maklumat daripada kisah mereka. Sebagai contoh, rekaan jersi Selangor ‘Away’ 2022 yang membawa kisah Brendan Gan, seorang pejuang kanser. Tujuannya ialah untuk meningkatkan tahap kesedaran tentang kanser dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain jersi, Amal juga membuat grafik barangan pemasaran seperti jam dan kasut, yang memerlukan perbincangan yang mendalam bagi memastikan pihak penaja, penyokong dan pemain menyukainya, “Selama enam tahun sebagai seorang pereka grafik di SFC, saya amat gembira apabila melihat ramai penyokong SFC tidak kira dimana saya pergi pasti akan ada yang memakai hasil kerja saya. Saya rasa amat terharu dan dihargai apabila ibu bapa saya juga mula memakai jersi yang direka oleh saya.”
Harapan beliau untuk generasi akan datang untuk sentiasa fokus, bekerja keras dan tidak berputus asa dalam mengejar impian serta mendengar nasihat ibu bapa supaya teruskan mencuba semua peluang yang ada. Amal sendiri pernah ditolak pada permohonan pertama, tetapi berjaya pada permohonan kedua. Bagi yang berminat untuk menjalani latihan industri dalam bidang reka bentuk grafik, anda boleh menghantar permohonan dan resume kepada emel yang disediakan di media@selangorfc.com.
“Kerja sebagai pereka grafik di SFC bukan sekadar mereka bentuk grafik barangan dan jersi sahaja tetapi bertanggungjawab untuk menentukan pengisian media sosial yang sudah menjadi sebahagian besar daripada pasukan dan penyokong. Saya mengakui bahawa kerja di sini ada masa sukar untuk saya, tetapi setiap kesukaran pasti ada penyelesaian dan kejayaan yang menanti. Kami bukan sahaja ingin memuaskan hati penyokong, tetapi juga pemain. Untuk pengetahuan semua, proses pembikinan jersi 2025/26 telah pun siap dan sedang dalam proses penghantaran. Proses pembuatan jersi juga telah berubah mengikuti perubahan liga. Saya kini sedang menyiapkan jersi untuk kejohanan AFC Champion League Two (ACL) dan akan terus menyambung dengan rekaan jersi 2026/27. Jersi merupakan elemen penting dalam bola sepak moden, terutamanya logo Selangor di dada.”
Sebagai penutup, Amal ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dari dahulu hingga kini. Beliau turut berterima kasih kepada isterinya, atas dorongan dan usaha isterinya menjadi ibu yang terbaik kepada anak-anak mereka. Tidak lupa juga kepada rakan sepejabat, pihak pengurusan, rakan media, pemain serta para penyokong yang tidak pernah berhenti menyokong kelab. Amal menyeru semua peminat untuk terus menyokong Gergasi Merah dan produk-produk yang dikeluarkan oleh kelab.
Merah Kuning Lambang Kebanggaan!
Haji Amal Arif Hatta
Ketua Unit Pereka Grafik